12 Rabiul Awal
merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam
seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang
telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah nama indah kepada
putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian
dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini
dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi
mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk
mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita.
Menurut sejarah, Malikus
Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada masa itu
telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di
kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta
mengabaikan akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh
Rasulullah S.A.W. Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini
tetapi hanya untuk bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang
yang dibawa oleh baginda S.A.W serta menolak hukum Pencipta mereka maka
inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat itu adalah bid’ah yang sesat
yang menempah siksaan dan bala dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita
bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda S.A.W sahaja tetapi
mestilah diikuti dengan pelaksaan segala perintah dan sunnah Rasulullah
S.A.W. Pelaksaan pula hendaklah meliputi semua aspek dan bukannya
menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat khusus,
sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan
tidak bertepatan dengan nafsu kita seperti politik, ekonomi,
perundangan, pemerintahan, batas-batas pergaulan harian dan pemakaian
pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolah, universiti, tempat
kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya mereka yang
bukan muhrim ( halal berkahwin ) bersama.
Kelahiran Rasulullah S.A.W
adalah pada tahun Gajah di mana tentera Abrahah yang berpusat di Yaman
telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka’bah. Perancangan ini adalah
bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah
setiap tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di
Yaman. Datu baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan
tentera bergajah Abrahah meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk
bersembunyi bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tentera itu.
Beliau menyatakan bahawa Ka’bah adalah milik Tuhan yang mana Dia tetap
menjaganya daripada pencerobohan mereka yang zalim. Akhirnya Allah
menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera bergajah Abrahah.
Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan tentera bergajah
Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna setiap
sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang
Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang
ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan
yang wujud dalam hati datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Muttalib yang
begitu yakin bahawa Ka’bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah
ketika melihat kemaraan tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti
lebih yakin daripada beliau terhadap pertolongan Allah dalam
mengembalikan ketuanan Islam.
Lahirnya Rasulullah s.a.w
daripada bangsa arab berketurunan Quraisy selain daripada menempelak
Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak dan
kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa
lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan
akhlak dan keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu
penting dalam penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan
mengenai keturunan kita dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa
akan lebih tersebar. Ingatlah bahawa keluarga merupakan fitnah yang
begitu besar kepada pendakwah di mana ramai dikalangan mad’u atau mereka
yang didakwah akan melihat bagaimana keadaan keluarga pendakwah sebelum
menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan bahawa bukannya
hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah kerana ramai
juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal tetapi
mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ada juga yang
berketurunan baik tetapi dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam
yang sebenar sehingga menjadi seorang yang tidak berguna malah
penentang kepada Islam itu sendiri. Namun begitu persoalan mengenai
keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji serta amal yang
mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan kerja-kerja dakwah
yang lebih berjaya. Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w dalam
keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi
membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih
kufur tidak boleh lagi berhujjah bahawa Islam tidak dapat diterima
kerana ia dibawa oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda
s.a.w berketurunan baik dan terpilih.
Keadaan Jahiliah Dan Material
Lahirnya baginda di
celah-celah kegemilangan kerajaan Rom, Parsi, India dan beberapa buah
lagi kerajaan yang lain menunjukkan kepada kita bahawa kemajuan sesuatu
tamadun itu bukannya terletak pada kemajuan material semata-mata tetapi
mestilah selari dengan pembangunan insan. Kemajuan yang berasaskan
maddiah dengan mengenepikan pembangunan ruhiah tidak mampu memberikan
kebahagian yang berkekalan kepada sesuatu bangsa. Kita pernah membaca
dan melihat sendiri kesan kegemilangan kerajaan-kerajaan tersebut
seperti kerajaan Rom di Jordan yang begitu hebat dari segi seni binanya
tetapi mereka tidak mampu berlaku adil pada rakyat mereka sehingga
adanya undang-undang yang melahirkan lapisan masyarakat yang berbeza
taraf serta perhambaan di kalangan mereka. Mereka lebih mementingkan
kehebatan dari segi material dan meninggalkan kepentingan pembinaan
insan kerana mereka berada jauh daripada petunjuk wahyu Ilahi. Sikap
mereka ini menular kembali ke dalam pemerintahan di negara yang
menggunakan ideologi ciptaan manusia dan meninggalkan hukum Allah Yang
Maha Kuasa pada masa kini. Oleh itu tujuan sebenar kedatangan Rasulullah
S.A.W adalah untuk memberi sinar iman setelah begitu lama manusia lemas
dalam lautan jahiliah dan kekufuran serta mengubah daripada perhambaan
sesama manusia kepada tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Kuasa.
Namun begitu Islam bukanlah menafikan sebarang pembangunan material
tetapi Islam mahu melihat bagaimana pembangunan material dan rohani
mampu diselaraskan demi melihat kejayaan di dunia dan akhirat. Adakah
masyarakat hari ini menjadikan Jepun atau negara barat sebagai model
terbaik dalam pembinaan tamadun moden semata-mata pembangunan material
yang tersergam indah atau pun kerana disiplin masa dan ketekunan mereka
dalam bekerja dan mengkaji?. Kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku
dalam negara di mana berbilion wang dihabiskan untuk membina bangunan
yang tinggi-tinggi demi mencipta nama di mata dunia walau pun semakin
hari semakin tinggi jumlah hutang negara yang ditanggung sedangkan
berapa banyakkah wang yang dihabiskan untuk pembinaan manusia. Sikap
memandang remeh terhadap pembinaan insan ini menyebabkan ramai rakyat
yang terlibat dengan amalan yang tidak sihat malah menggugat keamanan
negara. Berapa bilion terpaksa dihabiskan untuk membina penjara, pusat
serenti dan pelbagai lagi dalam membendung penagihan dadah, jenayah seks
dan sebagainya. Pemimpin sendiri terlibat dengan masalah politik wang
yang mampu menggadaikan keseluruhan hasil dan tanah negara dalam masa
terdekat dan jaka panjang.
Kehidupan baginda s.a.w dalam
suasana jahiliah yang dipenuhi oleh amalan penyembahan berhala
mengingatkan kita bagaimana suasana itu tidak mampu menggoyah dan
memberi kesan kepada keperibadian Rasulullah s.a.w yang sentiasa berada
di bawah naungan tarbiah Ilahi. Suasana ini juga memberi pengajaran
kepada kita bersama bagaimana Rasulullah s.a.w menjadi baik dan
berakhlak mulia bukannya disebabkan suasana sekitar yang baik dan soleh
sebaliknya kerana didikan Allah. Ini bagi menafikan dakwaan yang
menyatakan bahawa baginda s.a.w menjadi soleh dan berakhlak mulia kerana
terasuh dan terdidik oleh suasana sekitarnya yang baik. Kita sebagai
pejuang Islam mestilah berusaha dalam membina keperibadian muslim sejati
walau pun berada dalam suasana jahiliah moden yang mencengkam bagi
menyahut maksud hadis di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan keadaan
muslim yang sejati sebagaimana ikan di laut yang mana ia tidak masin
seperti air laut sebaliknya dagingnya tetap manis.
Yatim Piatu Dan Miskin
Semenjak kecil lagi Rasulullah
telah diuji dimana seorang demi seorang mereka yang merupakan tempat
baginda bergantung dan mengharapkan kasih sayang sebagaimana anak-anak
kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq iaitu
dengan dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam
kandungan ibundanya lagi. Kemudian diikuti dengan kematian ibundanya
Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang
seorang ibu. Selepas itu datuknya Abdul Muttalib pula pergi menemui
Ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa
saudaranya Abu Thalib. Ujian ini telah mematangkan baginda dan
menunjukkan kepada kita bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan
pengorbanan disamping di uji dengan mehnah atau cabaran. Ujian ini juga
adalah untuk menjauhkan Rasulullah S.AW daripada tuduhan liar bahawa
ilmu yang beliau sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang
baginda S.A.W perolehi daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W
sebaliknya ia adalah wahyu Ilahi. Begitu juga untuk menghindar daripada
tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada
diri Rasulullah S.A.W adalah kerana hasil penjagaan dan didikan daripada
ibubapa dan datuk baginda S.A.W. Kehidupan sebagai anak yatim piatu
juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul untuk berdikari
dan juga melahirkan dalam diri baginda s.a.w sifat kasih terhadap orang
susah dan menderita terutama anak yatim piatu.Sebagaimana sekarang kita
dapat dapat bezakan antara yang menjadi ahli koprat kerana dilahirkan
dalam keluarga koprat berbeza dengan mereka yang menjadi ahli koprat
hasil usahanya sendiri. Tanggapan orang ramai mengenai kedua-dua mereka
adalah berbeza walaupun kedua-duanya merupakan ahli koprat dan mereka
yang lahir menjadi ahli koprat hasil daripada usahanya sendiri biasanya
lebih matang kerana pernah menghadapi cabaran dan jatuh bangunnya
perniagaan sebelum lahir sebagai ahli koprat. Ingatlah bahawa perjuangan
untuk meninggikan kalimah La ila ha illallah bukannya dihamparkan
dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di
sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.
Kehidupan baginda s.a.w juga
tidak dihiasi dengan warisan kekayaan keluarga sebaliknya dipenuhi
dengan kemiskinan sehingga jika kita membaca kitab sirah nabawiyyah ada
menceritakan bagaimana keluarga ibu susunya Halimatus Sa’diyah hanya
bersetuju untuk menjaga baginda s.a.w setelah mereka tidak mendapati
kanak-kanak selain baginda s.a.w untuk diasuh. Ini adalah bertujuan
untuk mendidik baginda s.a.w dengan erti kesusahan dan juga bagi
mengelakkan kekayaan itu menjadi fitnah kepada tujuan mereka yang
memeluk Islam selepas kenabian nanti. Ia juga mengingatkan bagaimana
sebagai pendakwah Islam yang tulen kita mesti meneruskan usaha dalam
memastikan bendera La ilaha illaLlah akan berkibar megah samada ketika
senang atau pun susah. Kewangan bukanlah penghalang yang besar kepada
kerja dakwah sebaliknya ia hanya sekadar bantuan sahaja dalam
melancarkan tugas-tugas kita sebagai pendakwah.
Bibliografi :
1. Ar-Rahikul Makhtum, Sofiyyurrahman al-Mubarakfuri, Darul Salam, Riyadh.
2. Fiqh as-Sirah, Doktor Muhammmad Sa’id Ramadhan al-Buthi, Darul Fikir.
3. As-Sirah an-Nabawiyyah, Doktor Mustafa as-Siba’ie, Al-Maktab al-Islami
Tidak ada komentar:
Posting Komentar